Jurulatih Singapura, Gavin Lee percaya empat tonggak Malaysia mampu memberi kesukaran kepada pasukan itu menjelang aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup di Bandung, Indonesia.
The Straits Times melaporkan empat tonggak tersebut ialah Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva, Brad Tapp dan kapten Harimau Malaya, Dion Cools.
Lee melihat empat pemain ini bakal menyukarkan Singapura terutama Arif Aiman. Ini ditambah selepas beliau melihat aksinya ketika menentang Indonesia baru-baru ini.
“Kita semua tahu keupayaannya. Tapi pada masa sama, mereka juga sudah ada Bergson sekarang dan beliau menambah kualiti di bahagian hadapan.
“Di bahagian pertahanan, mereka menambah Brad Tapp dalam senarai pemain mereka. Dan beliau membentuk gandingan yang baik dengan Dion Cools yang beraksi di peringkat tertinggi di J1 (bersama Cerezo Osaka di Jepun),” katanya.
Lee sekurang-kurangnya boleh menghela nafas lega kerana bek tengah Selangor FC, Safuwan Baharudin kembali menyertai pasukan.
Sebelum ini, Safuwan terpaksa menjalani penggantungan satu perlawanan kerana mengutip kad merah dalam aksi pertama kumpulan menentang Indonesia.
Malaysia dan Singapura akan berentap di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober ini. Aksi ini penting buat Harimau Malaya kerana ini dapat membantu skuad negara muncul juara Kumpulan A.
Sekiranya berjaya bergelar juara kumpulan, Malaysia akan berentap dengan musuh tradisi, Thailand di pentas final.