Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias percaya pasukan-pasukan Liga Super perlu berhati-hati dengan DPMM FC.
Ini kerana pada hemat beliau, anak buah Jamie McAllister dilihat lawan berbeza jika dibandingkan pada musim lalu.
Ini terbukti apabila DPMM kini mengutip empat kemenangan dalam liga dalam enam perlawanan setakat ini. Ini termasuk kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan FC.
“Saya setuju pasukan-pasukan yang harus berhati-hati dengan pasukan ini. Mereka juga ada kualiti dan mampu untuk mengacau pemain pasukan-pasukan elit di atas.
“Mereka ialah satu pasukan yang baik, apa yang mereka tunjukkan pada petang ini kita boleh dapat lihat,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Farizal juga percaya prestasi DPMM turut menceriakan McAllister. Bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melihat jurulatih Scotland tidak lagi berdepan tekanan seperti musim lalu.
“Daripada awal persembahan tadi kita lihat juga jurulatih Brunei (DPMM) begitu santai dengan senyuman apabila ditemu bual.
“Jadi, kita nampak dari segi wajah beliau, beliau tidak (menghadapi) terlalu banyak tekanan kerana dengan pasukan yang beliau ada, beliau yakin,” tambahnya.
DPMM kini di tangga keempat liga dengan 12 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Kuching City FC, The Cats kekal di tangga ketiga menerusi kelebihan gol.


