Harimau Malaya kini hanya mempunyai dua laluan untuk menempah tiket ke final FIFA ASEAN Cup 2026 selepas mengumpul empat mata daripada dua aksi Kumpulan A.
Malaysia kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan empat mata, diikuti Indonesia yang turut mengumpul empat mata, manakala Singapura berada di tempat ketiga dengan tiga mata dan Bangladesh masih tanpa mata.
Perlawanan terakhir Kumpulan A pada 1 Oktober menyaksikan Malaysia akan turun berdepan cabaran Singapura, sementara Indonesia pula bakal menghadapi Bangladesh dalam dua aksi yang dijadualkan berlangsung serentak.
1. Menang ke atas Singapura dengan margin yang mencukupi
Laluan pertama buat Harimau Malaya adalah dengan menewaskan Singapura, namun jika Indonesia turut mencatat kemenangan, Malaysia perlu sekurang-kurangnya menyamai margin kemenangan Indonesia untuk mengekalkan kelebihan beza gol.
Situasi itu berlaku kerana Malaysia kini memiliki beza gol +3 berbanding +2 milik Indonesia, sekali gus memberikan Harimau Malaya kelebihan satu gol sebelum aksi terakhir.
Sebagai contoh, jika Malaysia menang 1-0 dan Indonesia menang 1-0, kedua-dua pasukan akan mengumpul tujuh mata tetapi Malaysia kekal di depan dengan beza gol +4 berbanding +3 milik Indonesia.
Namun, jika Malaysia menang 1-0 tetapi Indonesia menewaskan Bangladesh 5-0, Indonesia akan mempunyai beza gol +7 berbanding +4 milik Malaysia dan Harimau Malaya akan terlepas peluang ke final.
2. Seri dengan Singapura dan Indonesia gagal menang
Laluan kedua pula adalah Malaysia seri dengan Singapura tetapi Indonesia gagal menewaskan Bangladesh, sekali gus membolehkan Harimau Malaya menamatkan kumpulan dengan lima mata dan kekal di depan Indonesia yang maksimum hanya mengumpul lima mata.
Dengan persaingan tiga penjuru yang masih terbuka menjelang aksi terakhir, keputusan Malaysia menentang Singapura dan Indonesia bertemu Bangladesh akan menentukan siapa yang muncul juara Kumpulan A serta mara ke final FIFA ASEAN Cup 2026.