Skuad RM106 Juta Indonesia ‘Parking Bas’ Lawan Malaysia
MakanBola
PSSI

Siapa sangka skuad Indonesia yang bertahan ketika menentang Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan A FIFA ASEAN Cup memiliki nilai pasaran sebanyak €22.84 juta (RM106 juta).

Nilai ini berdasarkan semakan terbaru di laman sesawang Transfermarkt. Kapten, Kevin Diks memiliki nilai tertinggi di pasaran dengan €5 juta (RM23.1 juta).

Calvin Verdonk dan Dean James yang membentuk bahagian bek sayap Indonesia masing-masing bernilai €2.5 juta (RM11.6 juta) dan €1.7 juta (RM7.9 juta)

Penjaga gol, Maarten Paes dan bek tengah Milwall, Elkan Baggott masing-masing bernilai €2 juta (RM9.2 juta) dan €1.2 juta (RM5.5 juta).

Ole Romeny yang mengetuai jentera serangan Indonesia pula bernilai €800,000 (RM3.7 juta). Nilai sebahagian pemain ini jelas menunjukkan cabaran yang dihadapi Harimau Malaya untuk merobek gawang Indonesia.

Meskipun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan, keupayaan Malaysia menguji anak buah John Herdman patut dipuji. Ini menunjukkan barisan pemain negara mampu bersaing dengan mana-mana pasukan berkaliber.

Indonesia pula dilihat bakal berdepan tekanan untuk lebih berjaya dengan skuad ini terutama untuk muncul juara Kumpulan A FIFA ASEAN Cup.

Perebutan juara kumpulan dijangka diketahui selepas aksi terakhir pada 1 Oktober ini. Malaysia akan turun menentang Singapura dengan Indonesia menentang Bangladesh.

Status juara kumpulan amat penting lebih-lebih lagi juara Kumpulan A dan B bakal berentap bagi menentukan juara edisi sulung FIFA ASEAN Cup.