Piala FA: Selangor Akhiri Perjalanan Star City Penuh Mencabar
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC meneruskan kemaraan dalam saingan Piala FA Malaysia apabila mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menewaskan Star City FC dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ.

Beraksi di laman sendiri dengan kelebihan agregat 4-1, Selangor FC yang dibimbing Kim Pan-gon dilihat merehatkan beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Chrigor Moraes dan Nooa Laine. Sebaliknya, Syahir Bashah, Zikri Khalili dan A. Selvan diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan ini.

Sementara itu, Star City FC yang dibimbing Mehmet Durakovic kembali diperkuat dengan kehadiran Endrick dos Santos di bahagian tengah, malah pemain itu turut diberikan kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten pasukan.

Perlawanan bermula dengan seimbang apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dalam usaha memburu gol pembukaan seawal mungkin.

Selangor akhirnya memecah kebuntuan seawal minit kelapan menerusi Zikri Khalili yang menyudahkan peluang hasil situasi sepakan sudut. Syahir Bashah terlebih dahulu menanduk bola sebelum Zikri memastikan bola menerjah jaring untuk meletakkan Selangor di hadapan 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Star City cuba meningkatkan asakan ke kubu Selangor menerusi hantaran-hantaran lolos dalam usaha mereka mencari jaringan. Namun, gandingan pertahanan Selangor yang dibarisi Safuwan Baharudin dan Arbenit Xhemajli acap kali mematahkan gerak-gerak merbahaya.

Sorakan penyokong Selangor semakin bergema apabila Vitor Pernambuco menggandakan kelebihan pasukan pada minit ke-34 menerusi penyudah kemas selepas menerima hantaran lolos menarik daripada Syahir Bashah.

Jaringan tersebut memastikan Selangor menutup babak pertama dengan kelebihan selesa 2-0 ke atas Star City.

Memasuki babak kedua, Star City melakukan beberapa pertukaran pemain dalam usaha memperkemaskan permainan dan mencari jalan untuk merapatkan jurang agregat.

Pertukaran yang dilakukan nyata membuahkan hasil apabila Star City berjaya merapatkan kedudukan kepada 2-1 menerusi jaringan Moses Atede pada minit ke-62. Pemain Bahrain itu menyudahkan peluang dengan rembatan kencang dari jarak dekat dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang Selangor.

Star City terus menekan kubu Selangor dengan larian-larian pantas dan hantaran merbahaya tertamanya dari Endrick yang kerap membuat hantaran silang ke dalam kotak penalti Selangor.

Star City akhirnya berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-74 menerusi Pedro Santos yang pantas menghukum kesilapan Peter Makrillos ketika mengawal bola di dalam kotak penalti sebelum menyudahkan peluang dengan tenang untuk mencetuskan kebangkitan pasukan pelawat.

Ketika perlawanan hampir tamat, Star City meledak gol lagi kali ini menerusi jairngan Ramon Machado yang menyambar hantaran Azfar Fikri untuk mengubah kedudukan menjadi 3-2.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, menyaksikan Star City meraih kemenangan dalam aksi timbal balik itu. Bagaimanapun, keputusan tersebut masih belum cukup untuk mengubah nasib mereka apabila tewas 4-6 secara agregat, sekali gus mengesahkan kemaraan Selangor ke separuh akhir Piala FA Malaysia.