Malaysia bakal turun menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026 tanpa kelibat kapten pasukan, Dion Cools.
Perkara itu disahkan ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang memaklumkan pemain pertahanan berusia 30 tahun tersebut tidak dapat bersama pasukan bagi perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Jakarta.
Menurut Cheng Hoe, Dion mempunyai urusan peribadi yang perlu diselesaikan dengan segera dan keputusan tersebut dihormati oleh barisan kejurulatihan serta seluruh pasukan.
“Dion Cools tidak bersama dengan kita untuk perlawanan akan datang disebabkan beliau mempunyai hal peribadi yang perlu diselesaikan dengan segera. Kita hormat dengan keputusan Dion dan kita harapkan yang terbaik untuk beliau.”
Ketiadaan Dion pastinya menjadi satu cabaran buat Harimau Malaya memandangkan beliau memainkan peranan penting sepanjang tiga aksi Kumpulan A sebelum ini.
Selain bertindak sebagai kapten, pemain kelahiran Belgium itu menjadi tonggak di bahagian pertahanan ketika Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, seri 0-0 dengan Indonesia dan membelasah Singapura 6-0.
Dion turut memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan saingan kumpulan tanpa bolos, selain menjadi antara pemain berpengalaman yang mengemudi barisan pertahanan sepanjang kejohanan.
Cheng Hoe mengakui kehilangan Dion memberi kesan kepada pasukan, namun beliau turut menegaskan bahawa sumbangan positif keseluruhan pemain tidak boleh diketepikan.
“Memang dari segi pertahanan, Dion memainkan peranan yang cukup penting. Bukan sahaja sebagai ketua pasukan, dia juga membimbing di bahagian pertahanan dengan begitu baik dan juga pujian harus diberikan bukan sahaja kepada Dion, saya rasa keseluruhan pemain dari segi komitmen setiap pemain dalam tiga perlawanan terakhir ini cukup baik.”
Malaysia mara ke aksi penentuan tempat ketiga selepas menamatkan Kumpulan A di kedudukan kedua dengan tujuh mata, ketinggalan kepada Indonesia menerusi jumlah jaringan yang dihasilkan.
Harimau Malaya sebenarnya mencatat rekod dua kemenangan dan satu keputusan seri, selain menghasilkan sembilan gol tanpa dibolosi gol dalam tiga perlawanan tersebut.
Vietnam pula menempah tiket ke aksi penentuan tempat ketiga selepas muncul naib juara Kumpulan B apabila bangkit menewaskan Pakistan 4-2 pada perlawanan terakhir kumpulan.
Pertemuan Malaysia dan Vietnam kali ini sekali lagi menemukan dua pasukan yang sebelum ini bertemu pada separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026, dengan Vietnam ketika itu menyingkirkan Harimau Malaya.
Dengan Dion Cools tidak dapat diturunkan, perhatian kini terarah kepada siapa yang bakal mengisi posisi pertahanan dan mengambil alih tugas sebagai kapten ketika Harimau Malaya memburu penamat di tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026.