Dion Cools Teruja Beraksi Di Stadium Gelora Bung Karno
MakanBola
MALAYSIA NT

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak sabar menanti persembahan skuad Malaysia bertemu semua negara dalam Kumpulan A bagi mengharungi kempen Piala ASEAN FIFA 2026.

Kenyataan itu dinyatakan beliau sebelum aksi bertemu pasukan Bangladesh di Jakarta, Indonesia dalam aksi pembukaan Piala ASEAN FIFA pada petang esok.

Bekas pemain Buriram United itu bukan saja tidak sabar bertemu negara Harimau Bengal selepas 4 tahun tidak bertembung.

Malah, kejohanan ini juga peluang buat beliau dan rakan-rakan sepasukan bertemu pasukan tuan rumah, Indonesia di pentas antarabangsa setelah 5 tahun. Aksi terakhir menyaksikan Harimau Malaya tumpas 4-1 di tangan Garuda dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2020.

“Kami akan menjalani sesi latihan terakhir dan saya sangat menantikan perlawanan bertemu Bangladesh. Semoga kami dapat mencapai sesuatu yang baik untuk negara Malaysia.”

“Mengenai stadium, saya masih belum melihatnya. Jadi, esok akan menjadi kali pertama saya melihat dan beraksi di stadium tersebut. Saya pasti akan berasa teruja.”

“Seterusnya, saya yakin Indonesia merupakan antara pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana mereka mempunyai ramai pemain berkualiti yang beraksi di Eropah dan di luar negara. Kami juga bersedia untuk menghadapi mereka, tetapi buat masa ini, saya akan fokus terlebih dahulu kepada perlawanan esok.”

“Sudah tentu, perlawanan tersebut sangat istimewa. Untuk perlawanan seperti itu, kita mahu semua pemain terbaik dapat beraksi,” kata Dion Cools ketika sesi sidang media sebelum bertemu pasukan Bangladesh pada Jumaat.

Cools antara empat pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe. Selain beliau, Cheng Hoe turut memanggil Sergio Aguero (PSM Makassar), Fergus Tierney (PAC Omonia 29M) dan Daniel Ting (Ratchaburi).

Kem kali ini turut menyaksikan kehadiran tiga pemain baharu dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Tiga pemain tersebut ialah Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo.

Harimau Malaya bakal menghadapi semula cabaran pasukan julukan Harimau Bengal pada 25 September ini bagi aksi pertama Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat dan sepak mula dijadualkan pada pukul 5:00 petang waktu Malaysia.