Singapura Negara Ke-3 Terbaik Dunia Index Rasuah
MakanBola
Changsuek

Tindakan sesetengah penyokong Indonesia menuduh Singapura sengaja mengatur keputusan perlawanan ketika menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.

Tuduhan itu dilemparkan selepas mereka melihat Singapura mengalami kekalahan besar 6-0 di tangan Harimau Malaya dalam aksi terakhir kumpulan berkenaan.

Penyokong Indonesia menuduh The Lions sengaja dibolosi dengan jumlah besar dengan tujuan menghalang Indonesia layak ke final kejohanan itu sebagai juara Kumpulan A. Indonesia kemudiannya layak selepas membelasah Bangladesh 9-2.

Meskipun begitu, tuduhan sesetengah penyokong Indonesia terhadap Singapura boleh diibaratkan jauh panggang dari api.

Ini kerana berdasarkan semakan terbaru Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) menunjukkan negara republik itu merupakan negara ketiga terbaik dunia dari segi usaha membanteras gejala rasuah.

Selain itu, Singapura juga mengungguli kedudukan negara Asia Pasifik buat kali kedua berturut-turut dengan markah 84. Lebih menarik, Singapura juga satu-satunya negara Asia yang sentiasa berada dalam kelompok 10 negara terbaik sejak TI-CPI diperkenalkan pada 1995.

Dakwaan penyokong Indonesia bahawa Singapura menjual perlawanan bertentangan dengan realiti yang dipamerkan dalam aksi tersebut. Meskipun mendahului menerusi penalti Bergson da Silva dan gol Stuart Wilkin pada babak pertama, The Lions sentiasa memberi tekanan kepada benteng Harimau Malaya yang diterajui Dion Cools.

Malah, pasukan itu hampir merobek gawang Malaysia tetapi digagalkan oleh penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed. Selain itu, jurulatih Singapura, Gavin Lee turut mengakui keghairahan anak buahnya menyerang pada babak kedua menyebabkan terdapat ruang kosong di bahagian pertahanan.

Ini membuka ruang buat Harimau Malaya menambah lagi gol pada separuh masa kedua menerusi Bergson, Paulo Josue dan Syahir Bashah. Walaupun gagal layak ke final, Malaysia masih belum dibolosi selepas 270 minit dan telah menjaringkan sembilan gol.

HarimauMYstats turut mengingatkan bahawa ini bukan kali pertama Singapura dimalukan Harimau Malaya dengan jumlah jaringan besar. Hal itu pernah dilakar skuad negara untuk kelayakan Sukan Olimpik 1976 dan Pestabola Merdeka 1978.

Sebaliknya, terdapat kontroversi yang tercetus dalam aksi membabitkan Indonesia dan Bangladesh. Isu masa tambahan menjadi bualan ramai pihak terutama selepas Indonesia menjaringkan dua gol lewat.

Perkara ini bukan saja mencetuskan kehairanan buat jurulatih Bangladesh, Thomas Dooley. Malah, hal ini turut mendorong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa satu penjelasan rasmi dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu tersebut.

Selain itu, Indonesia juga cukup bernasib baik kerana tidak dikenakan layangan kad merah. Ini kerana terdapat beberapa insiden pertelagahan yang tercetus antara pemain kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan berlangsung.