FAM Gesa FIFA Jelaskan Isu Masa Tambahan Aksi Indonesia vs Bangladesh
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi penjelasan rasmi berhubung isu masa tambahan membabitkan perlawanan Indonesia menentang Bangladesh.

Aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup antara kedua-dua pasukan itu menjadi bualan penyokong kerana bilangan masa tambahan yang diperuntukkan untuk perlawanan berkenaan.

Mengikut semakan, masa tambahan yang diperuntukkan untuk aksi Tim Garuda menentang Bengal Tigers sepatutnya dua minit. Sebaliknya, ramai penyokong terkejut apabila masa tambahan dilanjutkan lagi sebanyak lima minit kepada tujuh minit.

Sehubungan dengan itu, FAM bakal menghantar permohonan penjelasan rasmi kepada FIFA berhubung isu tersebut.

“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.

“FAM turut berpandangan bahawa perkara ini wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan perlawanan tersebut melibatkan persaingan untuk menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.

“Justeru, FAM menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

FAM turut menegaskan tuntutan penjelasan itu bukan bertujuan mempertikai keputusan perlawanan mana-mana pasukan. Sebaliknya, badan induk itu mahukan penjelasan mengenai proses dan prosedur pengadilan bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul.

Malaysia terpaksa berpuas hati selaku naib juara Kumpulan A meskipun membelasah Singapura 6-0. Ini kemenangan 9-2 Indonesia ke atas Bangladesh memastikan pasukan itu muncul juara kumpulan dan layak ke final.