Liga Super

Kim Pan-gon: Jadi Satu Impian Berada Di Puncak Liga

Pan gon Selangor FC 6 Kim Pan-gon: Jadi Satu Impian Berada Di Puncak Liga
Selangor FC
Advertisements

Kim Pan-gon menyifatkan berada di puncak liga sebagai impian setiap jurulatih dan kelab, termasuk dirinya yang mahu melihat Selangor FC terus bersaing dalam kelompok teratas Liga Super 2026-2027.

Selangor kini berada di landasan positif selepas mencatatkan enam kemenangan berturut-turut hasil kejayaan menewaskan Star City FC 1-0 dalam aksi di Stadium MBPJ pada Ahad.

Jaringan tunggal Hugo Boumous memastikan skuad Gergasi Merah membawa pulang tiga mata untuk mengumpul keseluruhan 18 mata daripada enam perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan Selangor kini menduduki tangga kedua Liga Super 2026-2027 dengan jumlah mata yang sama seperti pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mengulas mengenai permulaan cemerlang pasukannya, Kim menjelaskan bahawa berada di kedudukan teratas merupakan impian setiap jurulatih dan kelab.

“Sentiasa menjadi impian untuk berada di puncak liga. Mencabar kedudukan teratas liga adalah impian setiap jurulatih dan setiap kelab.”

Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui bahawa perjalanan Selangor setakat ini masih memerlukan penambahbaikan meskipun beliau berpuas hati dengan usaha yang ditampilkan para pemain.

“Namun, setakat ini, saya fikir perjuangan kami berjalan dengan baik. Para pemain juga menunjukkan prestasi yang baik.”

Kim turut menyentuh mengenai insiden kad merah yang diterima pasukannya, namun menegaskan bahawa Selangor tetap berjaya mendapatkan tiga mata walaupun terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain.

“Walaupun kami menerima kad merah, berapa banyak kad merah yang sudah kami terima? Namun, kami masih berjaya memperoleh tiga mata.”

Dalam masa sama, Kim mengakui bahawa usaha untuk terus mencabar kedudukan teratas bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau mahu memaksimumkan peluang yang dimiliki pasukannya.

“Saya tahu kami masih belum cukup kuat, tetapi kami akan cuba memperbaiki diri.”

Kim turut meletakkan usaha untuk membanggakan penyokong Selangor sebagai antara perkara penting yang mahu dicapai bersama pasukannya sepanjang musim ini.

“Kami mahu membuatkan para penyokong Selangor berasa sangat bangga. Itu perkara yang penting.”

Beliau bagaimanapun mahu melihat sejauh mana Selangor mampu terus bersaing dalam perebutan kedudukan teratas Liga Super selepas permulaan positif yang dicatatkan setakat ini.

“Kita lihat sejauh mana kami mampu bersaing dalam perebutan ini.”