Jurulatih Persib Bandung, Igor Tolic mendedahkan staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan itu telah dihantar ke kelab-kelab luar negara termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT).
Akhbar Kompas melaporkan langkah tersebut dibuat pengurusan Persib bertujuan membantu staf-staf kelab menimba pengalaman dan ilmu baharu bersama kelab-kelab yang berjaya di Asia.
“Kami mengirim orang ke JDT juga untuk melihat bagaimana padang dikelola, agar kami bisa mendidik staf dari Bandung. Jadi kami mendapat pengetahuan.”
“Ini adalah satu hal yang perlu kami tingkatkan. Kami menyerap pengetahuan di sana, kami kumpulkan semua pengetahuan ini, lalu membawanya ke Bandung,” katanya.
Tolic memaklumkan Persib memiliki pilihan untuk merekrut tenaga pakar dari luar negara untuk menambah baik struktur pasukan itu.
Meskipun begitu, kelab memilih mengambil pendekatan holistik dan bersifat jangka panjang dengan menghantar anak-anak tempatan menimba pengalaman di luar negara.
“Kami mendatangkan fisioterapi terbaik yang bisa kami datangkan. Jadi kami mengumpulkan orang-orang terbaik yang kami bisa. Hal termudah adalah tinggal mendatangkan semua orang dari luar ke kelab,” tambahnya.
“Jika kami punya anggarannya, tinggal bawa semua tenaga profesional ke sini. Tapi kami ingin membantu orang-orang tempatan di sini, kami ingin meningkatkan kualiti kelab,”
Tolic melihat sokongan anak-anak tempatan penting demi memacu Persib lebih ke hadapan. Pada masa sama, beliau melihat hal ini perlu disokong dengan suntikan kualiti dari segi pengetahuan dan pengalaman agar mereka dapat menjadi aset kelab.
“Kami ingin staf tempatan yang bekerja di sini menjadi lebih baik dan mengembangkan kelab karena tidak ada yang mencintai klub ini seperti masyarakat Bandung.”
“Tapi mereka perlu berkembang, mereka harus bekerja lebih baik. Dari pengurusan hingga staf teknikal, semuanya harus bertambah baik. Ini sudah pernah saya sampaikan,” ujarnya.
Selain JDT, Persib turut menghantar staf-staf mereka menimba pengalaman bersama kelab Korea Selatan, FC Seoul.