Liga Super

Nidzam Jamil: Bakat Macam Harith Lahir 10 Tahun Sekali

Nidzam Jamil Negeri Sembilan Nidzam Jamil: Bakat Macam Harith Lahir 10 Tahun Sekali
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Bekas jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil percaya bakat yang dimiliki Harith Haiqal Adam Afkar hanya muncul sekali dalam tempoh 10 tahun.

Pandangan itu dibuat Nidzam ketika menjadi tetamu program audio siar Ngopi Lepas Game baru-baru ini.

Bekas bek tengah kebangsaan itu melihat Harith Haiqal memiliki corak permainan berbeza ketika beraksi di posisi bek tengah.

Ini kerana anak jati Petaling Jaya, Selangor itu bukan saja tenang ketika mengawal bola. Malah, Harith Haiqal juga tahu membina permainan dari bahagian pertahanan.

“Cara beliau bina permainan dari belakang, beliau cukup tenang dengan bola. Itu menunjukkan yang beliau sebagai bek tengah sangat berbeza.

“Saya rasa masa akan sama ada beliau akan menjadi watak yang sangat penting untuk skuad kebangsaan satu hari nanti,” katanya.

Nidzam yang menjadi sebahagian dari barisan kejurulatihan Selangor dari 2021 hingga 2024 turut menyifatkan bakat yang dimiliki Harith Haiqal cukup istimewa.

Malah, beliau juga sedar bakat sebegini hanya muncul sekali dalam tempoh sedekad. Atas sebab itu, Nidzam berharap Harith Haiqal diberi masa untuk menonjolkan kualiti bakat yang dimilikinya.

“Harith Haiqal, bakat yang mungkin lahir 10 tahun sekali. Sangat tenang dengan bola, sangat bagus membaca permainan dan memiliki kesedaran yang tinggi.

“Saya harap beliau ada masa untuk tunjukkan lebih banyak lagi apa yang beliau ada. Saya fikir beliau seorang pemain yang istimewa.

“Pemain ini cukup istimewa kerana anda pernah lihat Jebeng (nama gelaran Harith Haiqal) cabar bola tinggi? Macam tahap Mat Saleh,” tambahnya.

Harith Haiqal merekodkan enam penampilan dalam semua kejohanan bersama Selangor musim ini.

Sejak meraih penampilan pertama bersama Harimau Malaya pada 2024, beliau kini merekodkan 15 penampilan dan satu gol.

Lebih menarik, Harith Haiqal juga menjadi sebahagian daripada barisan pemain negara yang meraih tempat ketiga FIFA ASEAN Cup pada Oktober lalu.