FIFA ASEAN Cup: Vietnam Cemas Sebelum Tewaskan Pakistan
MakanBola
Vietnam FF

Juara ASEAN Hyundai Cup, Vietnam dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan B FIFA ASEAN Cup.

Selepas Thailand layak ke final selaku juara Kumpulan B, kedudukan naib juara kumpulan menjadi rebutan Vietnam, Filipina dan Pakistan. Aksi terakhir kumpulan dilihat peluang buat ketiga-tiga pasukan memburu slot naib juara dan penentuan tempat ketiga.

Selepas ketiadaan Nguyen Xuan Son akibat kecederaan, jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik menurunkan Do Hoang Hen dan Williams Minh Hoang untuk menjadi sandaran gol pasukan itu.

Vietnam bernasib malang apabila dibolosi Pakistan pada separuh masa pertama. Pakistan yang berstatus pasukan ke-198 dunia mencipta gol pendahuluan menerusi pemain pertahanan Paro FC, Mohib Ullah pada minit ke-31.

Tersentak, Pahlawan Bintang Emas kembali mengatur gerak dan bangkit pada separuh masa kedua. Nguyen Hai Long menceriakan kem Vietnam dengan gol penyamaan pada minit ke-51.

Enam minit selepas itu, kapten Vietnam, Nguyen Hoang Duc pula mencetak nama sebagai penjaring. Gol tersebut menyaksikan Vietnam kini mendahului 2-1.

Nguyen Dinh Bac memastikan Pahlawan Bintang Emas semakin sukar dicabar dengan gol ketiga pada minit ke-80. Kaleem Ullah mengurangkan defisit Pakistan pada minit ke-88.

Minh Hoang memastikan kedudukan Vietnam kekal tidak tergugat dengan gol keempat seminit selepas itu. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu sudah cukup buat Vietnam layak ke penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup sebagai naib juara Kumpulan B. Anak buah Sang-sik bakal bertemu Malaysia dalam aksi penentuan tempat ketiga pada 5 Oktober ini.