Thailand menamatkan aksi Kumpulan B FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kekalahan 1-2 kepada Filipina dalam aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, pada Jumaat.
Skuad kendalian Anthony Hudson sebelum ini tampil cukup dominan dalam dua perlawanan awal apabila berjaya menewaskan Pakistan dan Vietnam untuk mengumpul enam mata.
Namun, rekod kemenangan Thailand terhenti apabila Filipina berjaya memberikan kejutan menerusi kemenangan 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan.
Filipina membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Bjorn Martin Kristensen selepas menerima hantaran Paul Tabinas sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol Thailand.
Thailand cuba bangkit sepanjang babak pertama untuk mencari gol penyamaan, namun Filipina berjaya mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga tamat 45 minit pertama.
Aksi babak kedua pula mengalami kelewatan susulan faktor cuaca sebelum Thailand akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Iklas Sanron muncul sebagai penyelamat sementara Thailand apabila melepaskan rembatan lencong kaki kiri selepas menerima hantaran daripada Sekasak Ratri untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Filipina bagaimanapun kembali di hadapan pada minit ke-68 menerusi Kristensen yang menjaringkan gol keduanya selepas menerima hantaran Andre Leipold dalam satu gerakan serangan balas.
Thailand terus berusaha mencari gol penyamaan pada baki perlawanan tetapi Filipina kekal bertahan sehingga wisel penamat untuk mencatat kemenangan 2-1.
Kekalahan tersebut menyaksikan rekod kebal Thailand dalam dua aksi awal akhirnya lebur, namun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan B.
Thailand menamatkan saingan kumpulan dengan enam mata, sama seperti Vietnam, tetapi kelebihan beza gol memastikan mereka kekal di tangga teratas.
Thailand kini akan berdepan Indonesia dalam perlawanan final FIFA ASEAN Cup 2026 pada 5 Oktober, manakala Malaysia akan bertemu Vietnam dalam penentuan tempat ketiga.