FIFA ASEAN Cup: Thailand Ke Final, Benam Ego Vietnam
MakanBola
Changsuek

Thailand mengesahkan tiket ke final Divisyen 1 FIFA ASEAN Cup 2026 selepas mempamer persembahan garang semasa mengalahkan Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Si Jalak Harupat pada Selasa.

Keputusan 2-0 memihak Thailand dalam pertembungan penting berdepan Vietnam dengan kedua-dua pasukan kini berada di prestasi terbaik setelah memperoleh kemenangan semasa perlawanan pertama FIFA ASEAN Cup minggu lalu.

Thailand menurunkan pemain-pemain utama seperti Chanatip Songkrasin, Supachai Jaided serta Sarach Yooyen sementara Vietnam yang kehilangan khidmat Xuan Son, memberi kepercayaan kepada Nguyen Dinh Bac untuk memimpin serangan.

Seawal minit ke-10, skuad Gajah Perang membuka tirai jaringan menerusi tonggak tengah, Sarach Yooyen yang melepaskan rembatan deras sehingga gagal untuk diselamatkan oleh penjaga gawang terbaik Vietnam, Patrick Le Giang.

Babak kedua menyaksikan tekanan mula dirasai oleh kem Vietnam untuk mendapatkan jaringan penyamaan dengan Kim Sang-sik mula membawa masuk dua pemain naturalisasi mereka, Lee Williams dan Khoa Ngo dari bangku simpanan.

Pemain gantian, Chaiyaphon Otton melengkapkan kemenangan 2-0 buat Thailand hasil jaringan pada lewat aksi selepas bijak melepasi perangkap ofsaid Vietnam sebelum melepaskan rembatan leret yang terus menerjah masuk ke gawang.

Kemenangan 2-0 ini memastikan tempat Thailand ke final FIFA ASEAN Cup, selepas memiliki kelebihan head-to-head ke atas Vietnam andainya keputusan tidak memihak anak buah Anthony Hudson pada aksi terakhir kumpulan nanti.

Perlawanan terakhir Kumpulan B bakal menemukan Thailand dan Filipina manakala Vietnam dijadualkan turun berdepan Pakistan yang baru melakar kejutan dengan mengikat The Azkals 2-2 pada aksi kedua di sebelah petang tadi.