Nama jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menjadi sebutan media United Kingdom (UK).
Portal The 72 mengimbau tempoh beliau ketika bersama kelab Sheffield Wednesday dan perjalanan kariernya sebelum menyertai JDT.
Selepas tiba di Hillsborough pada awal musim 2023/24 menggantikan Darren Moore, Munoz hanya mampu bertahan sebanyak 12 perlawanan sebelum dipecat pada Oktober 2023.
Beliau kemudiannya menyertai kelab Slovakia, DAC Dunajska Streda sebelum tiba di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada awal musim 2025/26.
Sejak itu, Munoz tidak menoleh ke belakang dan membantu JDT melakar pencapaian empat trofi pada musim tersebut.
Beliau turut membantu pasukan itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26. Rentak cemerlang itu kini diteruskan pada musim ini.
Selain membantu JDT melakar rekod dunia untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang, Munoz juga membantu pasukan itu kekal tanpa kalah di pentas Asia.
Ini terbukti apabila JDT merekodkan satu keputusan seri dan dua kemenangan dalam ACLE setakat ini. JDT juga memiliki kelebihan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA meenntang DPMM FC.
Justeru, tidak hairanlah portal The 72 menyifatkan kejayaan Munoz bersama JDT sebagai mengagumkan.
Tempoh mengecewakan di Hillsborough dan Slovakia dilihat menjadi pendorong buat bekas jurulatih Watford itu untuk bangkit di bumi Johor.
Hal ini berbeza dengan kelab lamanya, Sheffield Wednesday. Wednesday kini dalam saingan Liga Satu selepas tersingkir dari Liga Kejohanan musim lalu.
Kelab itu juga sedang mencari jurulatih baharu selepas memecat legenda Bolton Wanderers, Henrik Pedersen.


