ACLE: JDT & Buriram United Kempunan 3 Mata
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan satu mata apabila sekadar seri 1-1 dengan musuh tradisi di peringkat ASEAN, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Perlawanan ini bukan sekadar peluang buat kedua-dua pasukan meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Timur ACLE. Malah, ini juga peluang buat JDT membalas dendam selepas disingkirkan lawan sama di peringkat separuh akhir Shopee Cup.

Peledak Brazil, Guilherme Bissoli menjadi sandaran gol jurulatih Buriram United, Mario Silva. Gandingan Arif Aiman Hanapi, Shahab Zahedi dan Marcos Guilherme menjadi pilihan Xisco Munoz untuk merobek gawang pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Buriram dilihat berusaha memberi tekanan kepada tuan rumah menerusi gandingan Bissoli, Stefan Schimmer dan Kingsley Schindler.

Thunder Castle terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-12. Silva memilih memasukkan Vukan Savicevic sebagai pengganti Goran Causic yang tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Oscar Arribas menyangka telah meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-23. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas Arribas dikesan mengasari penjaga gol pelawat, Neil Etheridge.

Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya hadir tiga minit selepas itu. Arribas melepaskan satu rembatan kencang yang gagal dicapai Etheridge sekali gus menceriakan lebih 30,000 penyokong di SSI.

Bissoli hampir menyamakan kedudukan buat Buriram pada minit ke-39. Walau bagaimanapun, percubaan penjaring terbanyak Thai League 1 musim lalu itu berjaya digagalkan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi Mohamed.

Tatkala JDT menyangka dapat membawa kelebihan satu gol sehingga rehat, Schimmer memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Bersambung selepas rehat, Munoz memasukkan Nacho Mendez dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva sebagai pengganti Afiq Fazail dan Zahedi.

Buriram kemudiannya dipaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kapten, Kenny Dougall mengutip kad kuning kedua pada minit ke-57. Dougall diarah keluar padang selepas dikesan mengasari Mendez.

Situasi ini memaksa Silva mengorbankan Schimmer dengan memasukkan Paulinho bagi memantapkan semula jentera tengah Buriram.

Pelawat kemudiannya memasukkan Theerathon Bunmathan, Alexandru Tudorie dan Eduardo Mancha untuk mengubah momentum perlawanan.

Tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti apabila Mancha dikesan menjaruhkan Arif Aiman dalam kotak penalti. Malangnya, penalti Bergson dinafikan Etheridge pada minit ke-87.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. JDT juga kemudiannya beraksi dengan 10 pemain apabila Eddy Israfilov dilayangkan kad merah di hujung permainan.

Sofascore memilih Arif Aiman sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.5. Beliau mengatasi Guilherme dan Schimmer yang berkongsi 7.3 mata.

Selepas ini, JDT akan menentang Penang FC untuk aksi suku akhir pertama Piala FA pada 20 September. Buriram pula akan turun menentang Chonburi pada hari yang sama.