Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) mengenakan penggantungan ke atas legenda bola sepak negara itu, Cristiano Ronaldo.
Daily Mirror melaporkan tindakan penggantungan itu tercetus secara automatik mengikut peraturan badan induk itu. Sekiranya seseorang pemain meninggalkan kem skuad kebangsaan tanpa kebenaran, pemain itu berdepan penggantungan antara satu hingga enam bulan.
Kes ini terpakai kepada Ronaldo. Legenda Manchester United itu meninggalkan kem Portugal ketika tempoh kalendar antarabangsa selepas bertelagah dengan jurulatih pasukan itu, Jorge Jesus.
Ronaldo kemudiannya mendedahkan antara sebab beliau meninggalkan kem ialah menuduh Jesus mungkir janji berhubung minit permainan dan permohonan maaf kepadanya.
Penyerang berusia 41 tahun itu juga sudah menyatakan telah hilang kepercayaan dengan bos lamanya itu ketika di Al-Nassr dalam satu hantaran di Instagram. Meskipun begitu, Ronaldo sedar apa yang dilakukannya itu salah dan telah memohon maaf.
Kini, badan disiplin FPF bakal menentukan tempoh penggantungan yang bakal dihadapi beliau. Sekiranya Ronaldo digantung untuk satu tempoh yang lama, beliau bakal terlepas aksi Liga Negara-Negara UEFA (UNL) menentang Denmark dan Wales pada November ini.
Meskipun begitu, ramai peminat menjangkakan legenda The Red Devils itu hanya akan menjalani tempoh penggantungan yang pendek. Ini kerana badan disiplin FPF akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk permohonan maaf Ronaldo.
Selain itu, FPF juga berharap dapat membantu Ronaldo menutup karier antarabangsanya dengan cara istimewa. Meskipun begitu, beliau perlu menjernihkan semula hubungannya dengan Jesus jika ingin kembali mewakili Portugal.
Bekas jurulatih Al-Hilal itu secara terbuka bersedia mengalu-alukan semula Ronaldo kembali untuk kem Portugal seterusnya. Kapten Portugal, Bruno Fernandes juga berharap beliau dapat kembali dan mahu pertelagahan yang timbul diselesaikan secara dalaman.