Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengisytiharkan Senegal sebagai juara Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.
Keputusan itu diputuskan mahkamah tersebut selepas menimbang rayuan yang dikemukakan Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF) berhubung keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menganugerahkan gelaran pemenang kepada Maghribi.
Aksi final pada Januari lalu menyaksikan Senegal muncul juara dengan kemenangan 1-0. Meskipun begitu, Jawatankuasa Disiplin CAF menarik balik kemenangan tersebut dan menganugerahkan kemenangan kepada Maghribi.
Situasi ini mendorong Senegal mengemukakan rayuan kepada CAS berhubung keputusan yang dibuat CAF. CAS memilih menerima rayuan Senegal kerana berpegang kepada doktrin padang permainan.
Wartawan sukan terkenal, Ben Jacobs melaporkan CAS sudah menyatakan pendirian tidak akan mencampuri apa-apa keputusan yang dibuat pengadil di atas padang. CAS hanya akan bertindak sekiranya pegawai perlawanan mengaplikasikan peraturan dengan cara yang tidak betul.
Atas sebab itu, CAS melihat tindakan pengadil menghentikan perlawanan atau kembali meneruskan aksi final selepas pemain Senegal kembali ke padang dilihat jatuh dalam bidang kuasanya sebagai pengadil. CAS juga mengambil kira pengadil membuat keputusan dalam situasi yang mencabar.
Susulan itu, Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) mahu mencabar keputusan tersebut. FRMF dilaporkan mahu berbuat demikian selepas mendakwa salah seorang ahli panel CAS berhubung dengan Presiden FSF, Abdoulaye Fall sebelum keputusan dibuat.


