Portugal Sudah Jumpa Pengganti Roberto Martinez
MakanBola
FPF

Portugal dilaporkan sudah ada calon pengganti untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan jurulatih Sepanyol, Roberto Martinez.

A Bola melaporkan bekas jurulatih Al-Nassr, Jorge Jesus menjadi calon pengganti pilihan Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).

FPF dijangka tidak berdepan masalah memuktamadkan perjanjian untuk membawa bekas jurulatih Al-Hilal itu. Ini kerana Jesus berstatus ejen bebas selepas meninggalkan juara Saudi Pro League (SPL) itu.

Sekiranya semua berjalan lancar, Jesus akan diberi tugas mengemudi Portugal menghadapi dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2028 dan Piala Dunia 2030.

Piala Dunia 2030 bakal menjadi fokus utama FPF kerana Portugal menjadi tuan rumah bersama kejohanan itu. Selain Portugal, Maghribi dan Sepanyol turut terpilih sebagai tuan rumah bersama.

Jesus cukup dikenali sebagai pemenang trofi tidak kira di mana saja beliau memikul tugas sebagai jurulatih. Selain SPL, beliau juga pernah memenangi Primeira Liga, Brazilian Serie A, King’s Cup, Copa Libertadores dan Piala Intertoto UEFA.

Martinez meninggalkan Portugal selepas pasukan itu terkandas di pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2026. Bekas jurulatih Belgium itu dilaporkan melihat kejohanan itu sebagai tugasan terakhirnya bersama Portugal sebaik kontraknya tamat pada Julai ini.