Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez mengumumkan peletakan jawatan sebaik kekalahan di tangan Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026.
Pengumuman ini dibuat oleh Roberto Martinez ketika sidang media pasca perlawanan tersebut, lantas dilaporkan oleh wartawan terkemuka, Fabrizio Romano sekali gus menjadi topik hangat sejurus tersingkirnya Portugal di pentas Piala Dunia.
“Terkini, Roberto Martinez tinggalkan jawatan sebagai jurulatih Portugal, sudah berakhir. Pihak Portugal FA akan mencari pengganti baharu,” lapor Fabrizio Romano di laman X.
Portugal mengalami kekalahan perit 0-1 di tangan Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terbaik pada awal pagi Selasa dengan gol lewat oleh Mikel Merino menguburkan hasrat skuad kendalian Roberto Martinez mara ke suku akhir.
Portugal cuma mencatatkan dua kemenangan, dua keputusan seri dan sekali tewas dalam kejohanan Piala Dunia 2026 ini, memberi isyarat persembahan goyah dan tidak konsisten pasukan di bawah pemantauan Roberto Martinez pada edisi ini.
Sebagai rekod, Roberto Martinez mula membimbing Portugal pada bulan Januari 2023 lalu setelah mengendalikan skuad kebangsaan Belgium dan pencapaian terbaiknya bersama Portugal adalah menjuarai UEFA Nations League 2024/2025.
Kekalahan tipis ini turut pahit untuk ditelan oleh kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang mengumumkan kejohanan edisi 2026 ini sebagai Piala Dunia terakhir beliau yang kini sudah pun mencapai usia 41 tahun, selepas tampil dalam 6 edisi sebelum ini.