Skuad B-15 Indonesia terpaksa akur selepas dibelasah Luxembourg 1-6 dalam aksi suku akhir Tier C FIFA U-15 Youth World Cup & Festival 2026 di Hövsan Competition Complex, Baku, Azerbaijan pada Khamis.
Keputusan itu menyaksikan langkah Indonesia ke separuh akhir bagi perebutan tempat ke-65 hingga ke-68 terhenti, sekali gus menyaksikan mereka akan beraksi dalam penentuan tempat ke-69 hingga ke-72.
Luxembourg membuka jaringan seawal minit ketujuh selepas memanfaatkan kesilapan Indonesia ketika membina serangan dari bawah sebelum menyudahkan peluang di hadapan gawang.
Indonesia yang dibimbing Furqon Alkatiri terus berdepan kesukaran apabila Luxembourg menambah gol kedua pada minit ke-23 menerusi rembatan lencong yang gagal disekat penjaga gol.
Lyonel Musaling bagaimanapun menghidupkan harapan Indonesia apabila berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-28.
Namun, Luxembourg segera melebarkan kembali kelebihan apabila menjaringkan gol ketiga kurang seminit selepas jaringan balas Indonesia sebelum menambah satu lagi gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 susulan insiden bola terkena tangan.
Wakil Eropah itu terus menghukum pertahanan Indonesia dengan dua lagi jaringan pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan 6-1, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir Tier C.
Indonesia kini akan bertemu Perancis dalam aksi separuh akhir penentuan tempat ke-69 hingga ke-72 selepas lawan mereka itu turut tewas kepada Tunisia dalam satu lagi aksi suku akhir Tier C.


