FIFA ‘Hukum’ Leandro Paredes
MakanBola
Seleccion Argentina

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat ke atas pemain Argentina, Leandro Paredes.

Nama tonggak Boca Juniors itu menjadi perhatian selepas didapati memegang leher Eric Garcia dan menolak muka Gavi. Dua insiden ini antara insiden yang disiasat pendakwa raya etika dan disiplin FIFA dalam aksi final Piala Dunia 2026 pada Julai lalu.

Susulan itu, Paredes dikenakan hukuman penggantungan 10 perlawanan dan denda AS$90,000 (RM363,463). Selain beliau, rakan senegara, Nahuel Molina turut dikenakan hukuman oleh FIFA berhubung insiden final Piala Dunia.

Molina didapati bersalah atas kesalahan menumbuk perut arkitek Sepanyol, Rodri. Insiden itu yang dilapor mencetuskan pertelagahan antara kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan.

Molina dikenakan denda AS$90,000 (RM363,463) dan penggantungan tujuh perlawanan. Thiago Almada dan Gavi pula masing-masing dikenakan penggantungan satu perlawanan dan denda AS$30,000 (RM121,154).

Penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala pula dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda denda AS$30,000 (RM121,154). Ayala dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah memukul muka Dani Olmo.

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) pula dikenakan denda AS$321,000 (RM1.3 juta) selepas didapati melanggar pelbagai kesalahan dalam Kod Disiplin FIFA (FDC).

Selain itu, Jawatankuasa Disiplin FIFA mengarahkan AS$100,000 (RM403,848) daripada denda tersebut digunakan untuk pendidikan anti-diskriminasi. Argentina juga dihukum beraksi di stadium dengan kapasiti sekitar 50% untuk dua perlawanan.

Pelaksanaan hukuman termasuk denda AS$100,000 (RM403,848) untuk perlawanan kedua ditangguhkan dengan AFA diletakkan di bawah pemantauan selama setahun. Jika Argentina melakukan kesalahan berulang, hukuman tersebut akan dilaksanakan dengan serta-merta.

AFA sudah menyatakan bahawa mereka akan merayu keputusan tersebut. Jika usaha itu tidak berhasil, AFA akan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).