Senarai lengkap 16 pasukan yang bakal bertanding pada pentas Piala Asia B-17 2027 akhirnya terjawab.
Tirai saingan kelayakan sudah pun dilabuhkan dan senarai penuh pasukan yang akan beraksi di pentas terbesar remaja Asia akhirnya lengkap. Daripada kuasa besar tradisional hingga wajah-wajah yang bangkit melalui laluan sukar, kesemua 16 pasukan kini sudah mengetahui destinasi mereka pada Mei tahun depan.
Saingan kelayakan kali ini menyaksikan 35 pasukan dibahagikan kepada tujuh kumpulan, dengan hanya juara setiap kumpulan dari A hingga G layak ke pusingan akhir. Tujuh pasukan tersebut akan menyertai sembilan pasukan lain yang sudah layak secara automatik, menjadikan jumlah keseluruhan 16 pasukan yang akan bersaing dalam empat kumpulan.
Piala Asia B-17 2027 akan berlangsung di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei 2027. Sebagai tuan rumah, Uzbekistan sudah pasti mendapat tempat, begitu juga Qatar yang layak secara automatik atas kapasiti tuan rumah Piala Dunia B-17.
Tujuh lagi tiket automatik menjadi milik pasukan terbaik Piala Asia B-17 2026 iaitu Jepun, China, Australia, Republik Korea, Arab Saudi, Tajikistan dan Vietnam. Kehadiran nama-nama besar ini sekali gus menjanjikan saingan yang cukup sengit di Asia Tengah.
Bagi tujuh lagi slot yang direbut menerusi saingan kelayakan, Indonesia, Iraq, Syria, Iran, India, Yaman dan Lubnan berjaya muncul juara kumpulan masing-masing untuk menempah tiket ke Uzbekistan.
Wakil Garuda Muda berjaya muncul juara Kumpulan A yang turut membariskan Myanmar, Afghanistan, Filipina dan Kemboja. Iraq pula mengatasi tuan rumah Thailand dalam Kumpulan B, manakala Yaman muncul juara Kumpulan F di Kyrgyzstan, dan Lubnan menguasai Kumpulan G yang dianjurkan di Oman.
Bagi peminat tempatan, Kumpulan E yang berlangsung di Malaysia menyaksikan India keluar sebagai juara selepas tampil hebat sepanjang kempen. Skuad yang digelar Blue Colts itu mencatat kemenangan besar ke atas Singapura (4-2), Guam (12-0) dan Palestin (4-1) sebelum memuktamadkan perjuangan pusingan kelayakan menerusi keputusan seri bertemu Malaysia.
Dengan keputusan itu, Asia Tenggara hanya akan diwakili oleh Vietnam dan Indonesia di Uzbekistan. Pasukan muda Thailand dan Malaysia pula terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas akhir kali ini.
Selain merebut gelaran juara Asia, kejohanan di Uzbekistan ini juga menjadi pentas penting untuk bakat-bakat muda menonjolkan diri. Kesemua 16 pasukan kini mempunyai kira-kira enam bulan untuk membuat persiapan sebelum misi besar di Asia Tengah bermula.


