Bek tengah Shelbourne, Sam Bone bakal terbang ke Malaysia pada November ini.
Hal ini dikongsikan bek tengah berusia 28 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram Story. Selain Malaysia, beliau juga akan singgah di Singapura.
Bone ingin singgah di Singapura kerana ingin mendapatkan jersi kelab negara itu, Geylang International. Geylang International merupakan nama baharu untuk kelab bapanya, Geylang United.

“Ada orang tahu cara nak dapatkan jersi Geylang International? Saya cuba hantar e-mel kepada kelab tetapi mereka tidak memberi maklum balas.
“Saya akan pergi ke Singapura/Malaysia pada November ini dan amat suka untuk mendapatkannya,” katanya.
Sebelum ini, anak jati Kuching, Sarawak itu menzahirkan keinginannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Bek tengah berusia 28 tahun itu dijangka tidak berdepan masalah jika dipanggil menyertai kem Harimau Malaya pada masa hadapan. Ini kerana Bone layak mewakili Malaysia kerana beliau lahir di Kuching, Sarawak.
Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), beliau tidak akan berdepan sebarang isu mewakili kem negara. Kes Bone sama seperti penyerang Hungary, Peter Banyai.
Banyai lahir di Kuala Lumpur dan menghabiskan masa kecilnya di Malaysia. Setelah itu, beliau kemudiannya pulang ke Hungary ketika berusia tiga tahun.
Sekiranya Malaysia berminat memanggil Bone, beliau dijangka menambah pilihan buat jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe di bahagian bek tengah.
Bekas graduan akademi Charlton Athletic itu merupakan anak kepada bekas pemain import Sarawak, Billy Bone. Bone beraksi di Sarawak selama dua musim sebelum berkelana ke Singapura dari 1999 hingga 2004.