Sam Bone Impi Sarung Jersi Harimau Malaya
MakanBola
Shelbourne FC

Hasrat bek tengah Shelbourne FC, Sam Bone untuk menyarung jersi Harimau Malaya terus bersemarak.

Anak jati Kuching, Sarawak itu menzahirkan keinginannya itu apabila ditanya seorang penyokong sama ada beliau ingin mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa atau tidak.

Bone menjawab soalan seorang pengguna X bernama O’Leed McTangsel itu dengan jawapan ringkas tetapi tegas, “(Ya) 100%.” Jawapan tersebut turut dikongsikan Harimau Abroad.

Bek tengah berusia 28 tahun itu dijangka tidak berdepan masalah jika dipanggil menyertai kem Harimau Malaya pada masa hadapan. Ini kerana Bone layak mewakili Malaysia kerana beliau lahir di Kuching, Sarawak.

Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), beliau tidak akan berdepan sebarang isu mewakili kem negara. Kes Bone sama seperti penyerang Hungary, Peter Banyai.

Banyai lahir di Kuala Lumpur dan menghabiskan masa kecilnya di Malaysia. Setelah itu, beliau kemudiannya pulang ke Hungary ketika berusia tiga tahun.

Sekiranya Malaysia berminat memanggil Bone, beliau dijangka menambah pilihan buat jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe di bahagian bek tengah.

Bekas graduan akademi Charlton Athletic itu merupakan anak kepada bekas pemain import Sarawak, Billy Bone. Bone beraksi di Sarawak selama dua musim sebelum berkelana ke Singapura dari 1999 hingga 2004.