Seorang pemain baharu yang berpotensi mewakili Malaysia dikesan di Hungary.
Pemain yang dimaksudkan ialah penyerang baharu Kecskemeti TE, Peter Banyai. Maklumat tersebut dikongsikan kelab baharunya itu selepas mengumumkan perpindahan pemain berusia 25 tahun itu.
Berita kemunculan beliau sebagai pemain baharu Malaysia turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang rasmi Kecskemeti, Banyai dilahirkan di Malaysia. Bekas penyerang Mezokovesd itu dibesarkan di Malaysia sebelum kembali ke Budapest, Hungary pada usia tiga tahun.
Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Banyai layak mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Banyai menghabiskan karier bola sepaknya di Hungary. Selain Mezokovesd, beliau juga pernah beraksi untuk Rakosmente, Szentlorinc SE, Ivancsa, Tiszakecske dan Aqvital FC Csakvar.
Banyai melengkapkan perpindahan ke Kecskemeti dari Mezokovesd selepas menyerlah bersama Aqvital FC Csakvar. Sepanjang semusim beraksi untuk kelab itu secara pinjaman, beliau menjaringkan 10 gol dan mencipta tujuh bantuan gol.
Hal ini mendorong Kecskemeti mengaktifkan klausa perpindahan yang terkandung dalam kontrak Banyai untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap.
Kemunculan beliau dilihat berita baik buat Harimau Malaya. Ini kerana Banyai berpotensi menambah lebih banyak pilihan buat jurulatih negara, Peter Cklamovski di bahagian serangan.