Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengingatkan anak buahnya tidak leka dan mempamerkan aksi terbaik menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Star City FC.
Selangor memiliki kelebihan tiga gol selepas memenangi aksi suku akhir pertama dengan keputusan 4-1. Hatrik Chrigor Moraes memastikan Selangor membawa kelebihan selesa dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ.
Meskipun begitu, Pan-gon mahu anak buahnya kekal fokus dan memastikan tiket separuh akhir Piala FA dalam genggaman gergasi Lembah Klang itu.
“Bagi kami, Piala FA adalah sangat penting. Walaupun kita mendahului dengan tiga gol, saya harap para pemain tidak leka.
“Mereka perlu saling menyokong antara satu sama lain demi melangkah ke separuh akhir dengan memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini.
“Selain itu, dengan kembalinya tujuh pemain daripada tugas negara, diharap pengalaman mereka dapat membantu meningkatkan kualiti permainan sekaligus menyumbang kepada kemenangan dalam perlawanan ini,” katanya.
Pan-gon turut menagih sokongan padu penyokong The Red Giants bagi memastikan pasukan itu mara ke peringkat separuh akhir.
“Kepada para penyokong, kehadiran anda amatlah penting terutamanya di tempat sendiri, emosi dan sokongan anda membantu kami meraih lebih keyakinan.
“Pasukan akan cuba yang terbaik untuk mempamerkan permainan yang hebat bagi menarik kehadiran anda dalam setiap perlawanan,” tambahnya.
Selangor dan Star City akan berentap dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada Ahad. Star City dijangka memberi tentangan sengit lebih-lebih lagi selepas Endrick dos Santos, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan Pedro Henrique kembali cergas.