Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar tampil menafikan khabar angin yang mendakwa Selangor FC berhasrat menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Spekulasi tersebut mula menjadi perbualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan susulan beberapa isu kontroversi yang melibatkan skuad Gergasi Merah dalam saingan domestik.
Bagaimanapun, Shahril menegaskan bahawa perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam fikiran pihak pengurusan Selangor.
Menurut laporan Stadium Astro, beliau menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan mahupun perancangan di peringkat pengurusan untuk meninggalkan saingan Liga Malaysia.
Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan sebesar itu perlu dipertimbangkan secara matang kerana bakal memberikan kesan jangka panjang kepada kelab, pemain, penyokong serta penaja.
“Saya boleh katakan tidak terlintas untuk keluar, banyak implikasi dia, jadi kita perlu menjadi matang.
“Jangan buat kenyataan yang boleh mencacat celanya industri bola sepak ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shahril turut menjelaskan tindakan Selangor mengemukakan laporan bertulis rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bukan bertujuan untuk mencetuskan kontroversi.
Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai sebahagian daripada proses dan prosedur bagi menuntut keadilan berhubung isu yang dibangkitkan sebelum ini.
“Itu proses dan prosedur, jadi kami sudah menghantar dan tunggu keputusan dari FAM dan MFL,” tambahnya.
Penjelasan tersebut sekali gus menepis spekulasi mengenai kemungkinan Selangor meninggalkan Liga Malaysia dan mengesahkan komitmen kelab untuk terus bersaing dalam kancah bola sepak domestik.


