ACLE: Buriram United Rebah Di Tangan Beijing Guoan
MakanBola
Buriram United

Wakil Thailand, Buriram United tumpas kepada Beijing Guoan aksi AFC Champions League Elite (ACLE) di Chang Arena pada Selasa.

Kekalahan 0-1 di laman sendiri terpaksa ditelan Buriram United setelah gol di penghujung perlawanan menghadiahkan tiga mata berharga buat Beijing Guoan sekali gus meranapkan misi kelab Thailand tersebut utnuk memburu kemenangan pertama.

Barisan terbaik kekal menjadi taruhan Buriram United dengan Guilherme Bissoli dan Supachai Jaided dipilih memimpin jentera serangan manakala kesebelasan utama Beijing Guoan diketuai oleh pemain sayap dari China, Zhang Xizhe.

Separuh masa pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan melancarkan serangan tanpa henti dari pelbagai arah, namun ketumpulan barisan serangan membuatkan Buriram United serta Beijing Guoan terus hampa.

Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-79 apabila tandukan penyerang gantian, Fabio Abreu dari jarak dekat berjaya menewaskan penjaga gawang Buriram United, Neil Etheridge bagi memberikan keceriaan kepada pasukan pelawat.

Jaringan tersebut kekal sehingga tamat 94 minit permainan bagi memberi kemenangan berharga kepada Beijing Guoan di bumi Thailand sementara Buriram United yang seri pada aksi pertama lalu terpaksa akur tumpas di laman sendiri.