Kuching City FC memilih merehatkan empat tonggak menjelang aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Kitchee.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan empat tonggak tersebut ialah James Okwuosa, Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor dan Jimmy Raymond.
“Kesebelasan utama Kuching City lawan Kitchee SC, The Cats tanpa James Okwuosa, Jimmy Raymond, Safawi Rasid dan Nazmi Faiz dalam kesebelasan utama,” katanya di X.
Ketiadaan Okwuosa menyaksikan Gabriel Peres dan Yuki Tanigawa menjadi pilihan Aidil Sharin Sahak untuk mengisi slot bek tengah.
Beliau dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan bekas bek tengah PDRM FC itu. Ini kerana kapten Kuching City itu baru saja pulih daripada kecederaan.
Ajdin Mujagic, Dylan Wenzel-Halls, Jerome Mpacko Etame dan Ramadhan Saifullah menjadi pilihan Aidil untuk menggempur kubu Kitchee. Petrus Shitembi dan Kaishu Yamazaki mengemudi jentera tengah Kuching City.
Joao Pedro dan Ariff Farhan melengkapkan komposisi benteng tuan rumah dengan Haziq Nadzli sebagai penjaga gawang. Pemilihan kesebelasan ini juga selari dengan komen jurulatih Kitchee, Inigo Calderon.
Calderon mengakui sukar meneka barisan pemain yang bakal dipilih Aidil Sharin kerana The Cats memiliki ramai pemain berkualiti. Kuching City dan Kitchee bakal berentap di Stadium Taha Ariffin pada Khamis, jam 8.15 malam.