Jurulatih Kitchee, Inigo Calderon mengakui sukar meramal barisan pemain yang bakal diturunkan jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak.
Pandangan itu dibuat jurulatih Sepanyol itu apabila ditanya tentang siapa pemain yang berpotensi memberi ancaman kepada kelab Hong Kong itu.
Calderon menyifatkan The Cats memiliki ramai pemain berkualiti. Hal ini membolehkan Aidil Sharin menurunkan barisan pemain berbeza dalam setiap perlawanan.
Pada masa sama, Calderon melihat hal ini langsung tidak menjejaskan fokus Kitchee menjelang aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) itu.
“Mereka mempunyai ramai pilihan pemain dan mengetengahkan barisan berbeza dalam setiap perlawanan maka sukar untuk saya meramalkan kesebelasan mereka.
“Taktikal kami tidak akan berasaskan kesebelasan pihak lawan, saya akan mengubah banyak percaturan. Namun, kami tetap perlu berwaspada dengan Kuching,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Legenda Brighton itu juga enggan memandang enteng cabaran Kuching City. Meskipun pasukan itu berstatus pendatang baru, Calderon menganggap The Cats mampu memberi ancaman kepada Kitchee.
“Kami cuba jelmakan rentak sendiri. Kami mahu menikmati perlawanan seterusnya tetapi sebagai tuan rumah, Kuching amat ampuh.
“Kami cuba memenangi perlawanan tapi apa pun kami akan berikan yang terbaik,” tambahnya lagi.
Kuching City dan Kitchee akan berentap di Stadium Taha Ariffin pada 15 Oktober ini.