Johor Darul Ta’zim (JDT) sebahagian daripada lima kelab ASEAN yang layak beraksi di peringkat Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2026/27.
Selain JDT, tiga kelab Thailand, Buriram United, Ratchaburi FC dan Port FC turut mengesahkan kelayakan ke peringkat berkenaan.
Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) melengkapkan senarai lima pasukan apabila menewaskan wakil Australia, Adelaide United 2-0 di pusingan kelayakan.
David Henen dan Brayan Perea masing-masing mencetak nama sebagai penjaring. Kemenangan itu turut menyaksikan anak buah Mano Polking menjadi pasukan Vietnam pertama beraksi di ACLE.
JDT layak selaku juara Liga Super musim 2025/26. Buriram, Port dan Ratchaburi pula masing-masing layak selaku juara, naib juara dan menduduki tempat ketiga Thai League 1 musim lalu.
Selain lima kelab ASEAN, Newcastle Jets, Shanghai Port, Beijing Guoan, Jeonbuk Hyundai Motors, Daejeon Hana Citizen dan Pohang Steelers turut berada dalam Liga Timur ACLE.
Empat kelab Jepun, Kashima Antlers, Vissel Kobe, Kashiwa Reysol dan Kyoto Sanga melengkapkan senarai 16 pasukan di peringkat berkenaan.
Cabutan undi fasa liga ACLE akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Ogos ini.