JDT Sasar Jadi Kuasa Baharu Di Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia mendedahkan matlamat pasukan itu untuk menjadi kuasa baharu bola sepak Asia.

Garcia berkata demikian apabila ditanya tentang kempen Harimau Selatan dalam saingan ACLE pada musim 2025/26. Legenda Liverpool itu melihat aksi suku akhir ACLE menentang juara bertahan, Al-Ahli sebagai pembuka mata buat pengurusan pasukan itu.

Garcia melihat aksi tersebut mendedahkan jurang kualiti dan nilai pasukan yang dimiliki Al-Ahli dan JDT. Meskipun begitu, beliau berharap kejayaan JDT dapat mendorong lebih banyak kelab Malaysia bersaing dalam kejohanan berprestij itu.

“Kami berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia dan mahukan lebih banyak pasukan Malaysia menyertai pertandingan ini.

“Langkah seterusnya adalah untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia dan tahun lepas (aksi suku akhir menentang Al-Ahli) merupakan pengenalan utama kami. Kami tiba di sana dan kami berjaya menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

“Ianya sukar menentang pasukan yang mempunyai bajet melebihi AS$150 juta (RM614 juta) dan kami hanya mempunyai AS$15 juta (RM61.4 juta) jadi ia agak berbeza, jurang yang besar antara satu sama lain,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

JDT kini fokus untuk aksi Piala Sumbangsih menentang Kuching City FC pada 21 Ogos ini. Selain berpeluang meraih trofi pertama musim ini, Harimau Selatan juga berpeluang mencipta rekod perlawanan baharu tanpa kekalahan paling panjang iaitu 109 perlawanan.

JDT sudah menyamai rekod yang dipegang ASEC Mimosas iaitu 108 perlawanan dalam aksi terakhir liga menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) musim lalu.