Bek kanan Kuching City, Ariff Farhan tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya diperlukan di mana-mana posisi oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.
Beliau berkata sedemikian selepas Kuching City berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Piala FA musim ini selepas berjaya menewaskan Selangor dengan agregat 3-2. Ariff Farhan merupakan antara tonggak penting bagi Kuching City dalam perlawanan terbabit.
Beliau meluahkan rasa syukur atas kemenangan yang diraih pada malam ini sambil mengucapkan tahniah kepada pasukan atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan.
Tidak lupa juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah atas kemenangan pada malam ini. Tahniah kepada pasukan Kuching City. Kredit buat semua pemain dan terima kasih kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan. Kami berdepan dengan sebuah pasukan yang kuat dan hebat.”
Mengulas mengenai kemampuannya beraksi di beberapa posisi, pemain itu menganggap perkara tersebut sebagai satu motivasi untuk terus memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan. Baginya, peluang untuk beraksi dan membantu kelab lebih penting tanpa mengira posisi yang diberikan.
“Alhamdulillah. Bagi saya, tidak kira sama ada saya bermain atau tidak, mahupun di posisi mana saya diletakkan, perkara paling penting adalah saya mahu beraksi dan sentiasa memberikan yang terbaik buat pasukan,” kata Ariff Farhan ketika ditemu bual selepas perlawanan oleh MFL.
The Cats bakal bertemu dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT layak ke final selepas menewaskan DPMM FC 6-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua.
Kuching City dan JDT akan berentap di pentas final pada 16 Januari 2027. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi Piala Sumbangsih musim ini yang menyaksikan The Cats tewas 3-0 di tangan Harimau Selatan.


