Yusri Che Lah Titip Nasihat Buat Daniesh Amirruddin
MakanBola
SCFC/JST

Bekas pemain tengah kebangsaan, Yusri Che Lah menitipkan dua nasihat buat bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Daniesh Amirruddin.

Dua nasihat itu ialah memperbaiki kualiti permainan yang dimilikinya dan sentiasa berdamping dengan pemain senior berpengalaman seperti Bergson da Silva.

Yusri yang juga bekas jurulatih Star City FC percaya dua perkara itu mampu menjadikan anak jati Merlimau, Melaka itu pemain yang lebih bagus selepas ini.

“Sejak dari awal pemain ini dibawa masuk ke JDT, pemain ini memiliki kepantasan dan mampu beraksi di bahagian kanan sahaja. Bukan saya katakan beliau tak boleh beraksi di bahagian kiri tetapi (dalam) kebanyakan perlawanan, beliau beraksi di sebelah kanan,” katanya kepada Nadi Arena.

“Ini kerana apa yang beliau miliki ialah sesuatu yang bagi saya boleh mengubah arah bagi sesebuah pasukan. Di sini, kita mungkin nak lihat Daniesh sebaris atau lebih kurang tahapnya dengan Arif Aiman. Beliau sendiri ada perbezaan ketara dengan Arif Aiman.

“Tak perlu ikut cara Arif Aiman, perlu ikut dengan cara (dan kualiti permainan) yang beliau ada dan terus beraksi. Dan bagi saya, cuba dekatkan beliau dengan Bergson. Seorang pemain berusia 35 tahun dengan banyak pengalaman dan dari situ, beliau akan lebih matang dalam masa terdekat.”

Nama Daniesh mula menjadi sebutan apabila meledakkan gol ketika menentang UM Damansara dalam Piala FA dan PKR Svay Rieng dalam Shopee Cup.

Malah, namanya turut tersenarai dalam senarai pemain yang dibawa Xisco Munoz untuk aksi kedua Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara JDT dan Pohang Steelers.