Kuching City FC tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan dakwaan pemberian sebanyak 1,500 tiket percuma kepada penyokong menjelang aksi menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA.
Perkara itu susulan penyebaran sekeping poster di media sosial yang mendakwa kelab berkenaan menyediakan sejumlah tiket percuma untuk perlawanan tersebut.
Menerusi kenyataan rasmi, Kuching City menegaskan bahawa maklumat yang terkandung dalam poster berkenaan adalah tidak benar.
Kelab itu turut menjelaskan bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi berhubung pemberian tiket seperti yang didakwa.
Sebarang maklumat berkaitan pengagihan tiket, promosi atau inisiatif kepada penyokong hanya akan diumumkan menerusi saluran komunikasi rasmi Kuching City FC.
Sehubungan itu, orang ramai dan penyokong diminta supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Kuching City turut mengingatkan penyokong agar merujuk saluran rasmi kelab bagi mendapatkan pengesahan mengenai sebarang pengumuman berkaitan tiket perlawanan.
Dalam masa sama, pihak kelab memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong serta orang awam.


