Pengendali Indonesia, John Herdman mengakui gerun dengan ancaman yang dibawa bintang Malaysia, Arif Aiman Hanapi apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Kumpulan A FIFA ASEAN Cup.
Kelincahan Arif Aiman sebagai pemain sayap cukup digeruni pihak lawan tidak kira ketika mewakili Harimau Malaya atau kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selain memiliki larian pantas, pemain sayap berusia 24 tahun itu juga bijak mencari ruang terutama bila menembusi kotak penalti pihak lawan.
Lantas, tidak hairanlah mengapa Herdman bimbang dengan ancaman Arif Aiman apabila kedua-dua pasukan bertemu. Hal ini mendorong bekas jurulatih Kanada itu merangka strategi khas untuk mengekang asakan beliau.
“Jika anda berdepan situasi membabitkan Arif Aiman di luar sana yang merupakan ancaman merbahaya (buat pasukan Indonesia), seorang pemain akan turun dan membentuk lima pemain pertahanan.
“Kita juga ada sokongan di bahagian tepi bagi mengelakkan mereka masuk ke bahagian dalam. Ini bermakna anda bermain dengan tiga pemain tengah berbanding dua pemain tengah,” katanya dalam satu temu bual bersama Liputan 6 Sport baru-baru ini.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain selepas Thom Haye dibuang padang, strategi Herdman memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.
Selepas kembali menyertai JDT, Arif Aiman terus membuktikan dirinya makin berbisa apabila meledakkan gol dalam kemenangan besar 6-0 ke atas Svay Rieng baru-baru ini.