Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah mengingatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) agar lebih berwaspada dengan corak serangan balas DPMM menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA pada Ahad, 8 November.
Menurut Yusri, pasukan dari Brunei itu memiliki pendekatan serangan yang mampu mengancam benteng pertahanan lawan menerusi hantaran jauh ke ruang belakang pertahanan.
Beliau menyuarakan pandangan tersebut ketika dijemput sebagai salah seorang pundit dalam rancangan Nadi Bola pada Sabtu, 7 November.
“Saya merasakan JDT harus berhati-hati dengan corak serangan balas DPMM kerana seperti kita tahu pasukan dari Brunei ini (gemar) bermain dengan bola hantaran jauh ke belakang pertahanan lawan,” katanya.
Yusri turut mengambil contoh jaringan DPMM ketika berdepan Kuala Lumpur City (KL City) dalam saingan Piala FA sebelum ini yang terhasil menerusi pendekatan serangan sedemikian.
Malah, beliau melihat corak permainan tersebut bukan sesuatu yang baharu buat DPMM apabila pendekatan sama turut digunakan oleh Jamie Macallister pada musim lalu.
“Kemungkinan-kemungkinan itu boleh berlaku dan kita dapat lihat bagaimana pasukan DPMM menjaringkan gol ketika berdepan KL City tempoh hari dalam saingan Piala FA juga apabila mereka berjaya mendapatkan jaringan (dengan cara itu),” jelasnya.
“Dan saya rasa pada musim lalu juga, taktikal sama digunakan oleh Jamie Macallister.”
Kehadiran Jordan Murray dan Dalberto dilihat mampu memberikan lebih banyak pilihan buat DPMM untuk mengatur gerakan serangan, khususnya dengan sokongan Miguel Oliveira yang memiliki kepantasan di bahagian sayap.
“Apa yang boleh saya katakan kali ini dengan kehadiran dua penyerang mereka, Jordan Murray dan Dalberto (adalah) keserasian ini akan lebih terserlah apabila membiarkan Miguel Oliveira beraksi di sayap kiri kerana kepantasan beliau perlu diambil kira pada aksi nanti,” tambah Yusri.
JDT kendalian Xisco Munoz pastinya perlu memberikan perhatian terhadap ancaman tersebut bagi mengelakkan kejutan ketika beraksi di laman sendiri.
Skuad Harimau Selatan membawa bekalan agregat 2-0 hasil kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama di Brunei dan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke final Piala FA.


