Nasihat dan tunjuk ajar daripada pemain senior, khususnya Arif Aiman menjadi antara sumber motivasi buat pemain muda, Daniesh Amiruddin.
Alsi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan pemain muda berbakat itu beraksi cemerlang, sambil menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai satu aksi yang cemerlang buat Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT berjaya menewaskan Brunei DPMM dengan keputusan agregat 8-1 sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final Piala FA musim ini. Daniesh Amiruddin turut mencuri tumpuan apabila berjaya meledak satu gol dalam perlawanan tersebut.
Beliau meluahkan rasa penghargaan kepada barisan kejurulatihan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengambil sepakan penalti. Menurutnya, peluang tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh keyakinan, meskipun tekanan tetap dirasai ketika berada di atas padang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya untuk mengambil sepakan penalti. Saya berharap dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin.
“Tekanan sememangnya ada dalam diri saya, tetapi saya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan disiplin, lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.”
Dalam pada itu, tonggak berusia 20 tahun itu turut berkongsi mengenai hubungan rapatnya dengan beberapa pemain senior JDT yang banyak membantu perkembangan dirinya, terutama dari segi memberikan tunjuk ajar, nasihat serta dorongan untuk terus memperbaiki prestasi di dalam padang.
“Antara pemain senior yang rapat dengan saya ialah Arif Aiman, Syihan, Afiq Fazail, Syahmi Safari dan Feroz. Mereka banyak membantu dan memberikan tunjuk ajar kepada saya sepanjang sesi latihan.
“Messi (Arif Aiman) selalu berpesan supaya saya tidak takut melakukan kesilapan dan sentiasa memberikan tumpuan. Dalam apa jua perkara yang ingin kita lakukan, kita tidak boleh takut untuk mencuba.
“Kita perlu yakin dengan kemampuan diri dan berani mengambil peluang,” jelas beliau ketika ditemu bual selepas perlawanan bersama MFL.
Juara bertahan, JDT bakal bertemu dengan Kuching City dalam perlawanan akhir Piala FA musim ini. The Cats layak ke final selepas menewaskan Selangor FC 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua.
Aksi final Piala FA 26-27 dijadual berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu, 16 Januari 2027.


