Ketua pasukan Selangor FC, Faisal Halim mencuri perhatian apabila meninggalkan komen ringkas tetapi cukup menarik di hantaran Instagram rakan sepasukannya, Safuwan Baharudin susulan kekalahan Gergasi Merah kepada Kuching City FC dalam aksi separuh akhir Piala FA Malaysia.
“Kita tahu semua ini akan berlaku,” komen Faisal ringkas di ruangan komen hantaran tersebut. Walaupun hanya meninggalkan satu ayat pendek, komen pemain sayap itu mengundang perhatian penyokong yang tertanya-tanya mengenai maksud di sebalik kenyataannya.
Safuwan sebelum itu memuat naik satu hantaran di Instagram bagi meluahkan kekecewaannya selepas Selangor gagal melangkah ke final Piala FA. Pemain pertahanan itu mengakui pasukan perlu menerima kekalahan, namun menyifatkan beberapa perkara yang berlaku di luar keputusan perlawanan sebagai sesuatu yang sukar diterima.
Safuwan turut membangkitkan isu tingkah laku tidak bersemangat kesukanan yang disaksikan mereka sepanjang perlawanan dan menegaskan perkara sedemikian tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam bola sepak.
“Kita menghormati permainan ini, pihak lawan dan mereka yang hadir memberikan sokongan kepada kami. Itulah identiti kami. Itulah Selangor,” antara luahan Safuwan menerusi hantaran di Instagram.
Komen Faisal itu bagaimanapun menjadi antara perkara yang mencuri perhatian selepas penyingkiran Selangor daripada kejohanan tersebut. Sebagai ketua pasukan, kenyataan ringkasnya itu pastinya mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong mengenai perkara yang dimaksudkan.
Untuk rekod, Selangor tewas 0-2 kepada Kuching City dalam aksi kedua separuh akhir Piala FA Malaysia. Keputusan itu menyaksikan Kuching City mara ke final dengan kemenangan agregat 2-1, sekali gus menamatkan perjalanan Gergasi Merah dalam saingan Piala FA musim ini.


