Kuching City mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas mudah menyingkirkan Kelantan City pada Sabtu di laman sendiri.
Kemenangan 4-1 di Stadium Taha Ariffin memberikan laluan buat Kuching City bagi melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini selepas meleburkan impian besar wakil dari Liga A1 Semi-Pro, Kelantan City untuk mencipta kejutan.
Barisan terkuat menjadi sandaran ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dengan Ajdin Mujagic serta Safawi Rasid mengetuai jentera serangan manakala Hadin Azman menggalas tugas untuk memburu gol buat Kelantan City.
Yuki Tanigawa meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit yang ke-11 setelah tandukan tonggak dari Jepun itu dikesan sudah melepasi garisan gol oleh pengadil, sekali gus menceriakan penyokong Kuching City di stadium.
Selang 8 minit kemudian, Ajdin Mujagic menambah kelebihan dengan gol kedua untuk Kuching City, hasil tampanan berpunca daripada hantaran lintang Joao Pedro yang mudah menewaskan penjaga gol lawan, Fikri Che Soh.
Kelantan City berjaya merapatkan jurang sebelum separuh masa pertama tamat hasil jaringan jarak jauh oleh Hadin Azman yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gawang tuan rumah, Shahril Shaari untuk kedudukan 2-1.
Babak kedua bersambung dengan 3 gol daripada Ajdin Mujagic pada minit ke-67 dan 81, bagi melengkapkan kemenangan selesa kepada Kuching City sekali gus menyempurnakan hatrik peribadi buat tonggak berbisa kelahiran Bosnia ini.
Aksi berakhir dengan kemenangan 5-1 secara agregat memihak Kuching City untuk membawa The Cats mara ke separuh akhir Piala FA dan akan berdepan pemenang antara Selangor dan Star City yang bakal bertarung pada Ahad.