Hasrat Kuching City FC membawa pulang bekalan berharga dari Kota Bharu tidak kesampaian apabila diikat Kelantan City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.
Kelantan City selaku tuan rumah mempertaruhkan barisan terbaik dengan Wan Zaharulnizam diberi kepercayaan mengetuai pasukan. Sementara itu, Kuching City pula menampilkan Ajdin Mujagic sebagai penggempur utama bagi mengetuai jentera serangan mereka.
Kuching City memulakan permainan dengan cukup tersusun menerusi corak hantaran pendek yang kemas dan tepat, sekali gus memaksa Kelantan City lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.
Ajdin Mujagic hampir membuka tirai jaringan buat Kuching City pada minit ke-18, namun percubaannya selepas menerima hantaran lambung cantik daripada rakan sepasukan tersasar.
Kelantan City memperoleh dua peluang berturut-turut menerusi Asraff Aliffuddin dan Aziz Doumbia, namun kedua-dua percubaan tersebut berjaya ditepis kemas oleh Haziq Nadzli yang bertindak cemerlang mengawal gawang Kuching City.
Tamparan hebat buat Kelantan City pada minit ke-42 apabila terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Nazri Muhamad dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Ramadhan Saifullah.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Kuching City membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk dua pemain import iaitu Jerome Etame dan Dylan Wenzell Halls dalam usaha mereka mencari jaringan.
Kuching City terus menguasai permainan dengan memanfaatkan kelebihan seorang pemain sebaik mungkin, namun disiplin tinggi barisan pertahanan Kelantan City wajar dipuji apabila mereka kerap mematahkan setiap gerakan serangan yang direncanakan lawan.
Pada minit ke-80, Kuching City pula terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Jerome Etame dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap pemain Kelantan City. Keadaan itu menyaksikan permainan kembali terbuka apabila kedua-dua pasukan kini beraksi dengan jumlah pemain yang sama.
Ronald Ngah Wanja yang masuk sebagai pemain gantian hampir membuka tirai jaringan buat Kuching City pada minit ke-83, namun tandukannya sedikit tersasar meskipun penjaga gol Kelantan City sudah terpaku melihat pergerakan bola.
Kedudukan 0-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan walaupun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan pada penghujung perlawanan, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi timbal balik yang dijadualkan pada 10 Oktober depan bagi menentukan pasukan mana yang bakal mara ke pusingan separuh akhir Piala FA.