Pahang Rangers dipaksa bekerja keras oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) hingga ke masa tambahan sebelum menempah tiket final Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Selepas meraih tiga mata kerana menewaskan JDT dalam aksi separuh akhir pertama, Pahang Rangers hanya memerlukan kemenangan atau seri untuk mara ke final. JDT pula perlu menang jika ingin mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bruno Taffy mengetuai cabaran JDT. Rodrigo da Silva dan Felipe de Souza menjadi sandaran gol Pahang Rangers di Stadium Tertutup Pasir Gudang.
JDT terlebih dahulu di hadapan menerusi pemain import Sepanyol, Andres Prieto. Keceriaan kem tuan rumah tidak bertahan lama apabila da Silva menyamakan kedudukan buat Pahang Rangers.
Taffy memastikan JDT mendahului 2-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit-minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, JDT terus berusaha mencari gol tambahan dengan harapan dapat mengheret Pahang Rangers ke masa tambahan.
Penjaga gol Pahang Rangers, Afiq Abdul Rahman menjadi sebutan penyokong pelawat apabila membantu pasukan itu menyamakan kedudukan buat kali kedua.
JDT dan Pahang Rangers kemudiannya dikenakan kad merah oleh pengadil. Keputusan itu diambil selepas Awalluddin Mat Nawi dan Syazwan Ashraf Musa dikesan bertelagah sebelum ditenangkan pengadil.
Ridzwan Bakri kembali meletakkan Harimau Selatan dengan keputusan kini 3-2. Meskipun begitu, kedua-dua pasukan menamatkan babak kedua dengan JDT meraih tiga mata.
Memandangkan kedua-dua pasukan terikat tiga mta, aksi separuh akhir kedua MPFL antara JDT dan Pahang Rangers diteruskan ke masa tambahan.
Masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan terus bergelut mencari kemenangan. JDT kemudiannya bernasib malang apabila Zainulzahin Sinuan dilayangkan kad merah kerana berlanggar dengan da Silva.
Pemain Brazil itu kemudiannya muncul wira dengan meledakkan gol buat Pahang Rangers sekali gus menempah tiket ke final. De Souza melengkapkan kecemerlangan pelawat dengan gol kedua dalam masa tambahan.
Pasukan itu kini akan berdepan sama ada Selangor FC atau Terengganu di peringkat akhir.