Malaysia Terlepas Slot Ke Piala Asia Wanita B-17, Tewas Kepada India
MakanBola
Malaysia National Team

Skuad wanita Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) terlepas peluang layak ke Piala Asia Wanita B-17 2027 apabila tewas kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan E.

India dan Malaysia sedar hanya kemenangan yang dapat menjamin peluang mereka layak ke kejohanan berprestij itu. Ini kerana hanya juara kumpulan saja layak secara merit ke Piala Asia Wanita B-17.

Kedua-dua pasukan hadir dengan rekod baik iaitu dua kemenangan daripada dua aksi sebelumnya dalam Kumpulan E. Pada masa sama, Malayan Tigress B-17 turut mendapat sokongan padu penyokong di Stadium Selayang.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad India berusaha memberi tekanan ke arah benteng negara. Ini memaksa penjaga gol Malaysia, Putri Aina Husna Mohd Subri bekerja keras mengawal gawang.

Keadaan padang yang kurang baik disebabkan hujan yang turun beberapa jam sebelum perlawanan turut menyukarkan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi baik.

India terpaksa menunggu hingga minit ke-28 untuk membuka tirai jaringan menerusi Redima Chingkhamayum. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, India terus memberi tekanan ke atas kubu skuad muda wanita Malaysia untuk mendapatkan gol tambahan.

Penjaring terbanyak India, Anushka Kumari melorongkan bola yang disudahkan Pritika Barman melepasi Putri Aina Husna pada minit ke-50. Enam minit selepas itu, giliran Kumari mencetak nama sebagai penjaring.

Nidhi Kumar melengkapkan malam gemilang India dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-85.

Malaysia berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun tewas, semangat juang skuad muda wanita negara patut dipuji kerana tetap berjuang sehingga wisel penamat ditiup.