Seramai empat wakil Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Syed Modi International 2026 selepas melepasi halangan pusingan kedua yang berlangsung pada Khamis.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai senarai wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran dalam kejohanan tersebut.
Bekas juara All England itu berjaya menewaskan wakil India, Pranay Shettigar menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-18 untuk menempah tiket ke kelompok lapan pemain terbaik.
Zii Jia bakal berdepan cabaran pemain pilihan keenam dari Perancis, Arnaud Merkle dalam aksi suku akhir pada Jumaat bagi merebut slot ke separuh akhir.
Wakil perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching turut mengesahkan kemaraan selepas menampilkan kebangkitan untuk menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Tanya Hemanth dengan keputusan 16-21, 21-13, 21-17.
Pemain kelahiran Sarawak itu bagaimanapun bakal berdepan tugas lebih mencabar apabila dijadualkan bertemu pilihan keempat dari Thailand, Supanida Katethong dalam aksi seterusnya.
Dalam acara beregu campuran pula, pasangan Wee Yee Hern-Vannee Gobi mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama kejohanan dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto menerusi kemenangan 22-20, 21-15.
Yee Hern-Vannee kini bakal menguji kemampuan menentang pasangan Indonesia, Muhammad Nawaf Khoiriyansyah-Indah Cahya Sari Jamil untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Sementara itu, beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah melengkapkan senarai empat wakil Malaysia selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Ananya Arun-Anjana Manikandan dengan keputusan 21-16, 21-16.
Pasangan yang menghuni ranking ke-39 dunia itu akan berdepan cabaran beregu England, Abbygael Harris-Estelle van Leeuwen dalam pertembungan suku akhir.
Kesemua empat wakil Malaysia itu dijadualkan turun beraksi pada Jumaat dengan misi memburu kemenangan bagi meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Syed Modi International 2026.


