Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz memilih enggan mengulas tentang masa depan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Sebelum ini, masa depan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menjadi bualan peminat badminton Malaysia. Hal ini berlaku kerana prestasi kurang memberangsangkan Zii Jia sejak kebelakangan ini.
Justeru, spekulasi tentang masa depan bekas juara All England itu mula berlegar di media sosial. Salah satu daripadanya ialah kemungkinan Zii Jia kembali ke pangkuan BAM.
Apabila diminta mengulas kemungkinan berkenaan, Tengku Zafrul memaklumkan sebarang keputusan tentang masa depan Zii Jia patut diputuskan oleh jaguh badminton itu.
Pada masa sama, BAM kini fokus membentuk barisan pemain perseorangan yang ada di bawah bimbingan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan badan induk itu, Kenneth Jonassen.
“Terpulang kepada Zii Jia, kami mahu fokus kepada barisan perseorangan yang kita ada sekarang,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Fokus BAM ketika ini ialah mempersiapkan kontinjen negara yang akan bersaing dalam Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.