Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos sah terpaksa melupakan baki kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.
Ini kerana pemain tengah baharu Star City FC itu mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL). Status kecederaan Endrick dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Selain terpaksa melupakan kempen ASEAN Hyundai Cup, bekas pemain Penang FC itu juga perlu melupakan aksi-aksi awal Liga Super. Zulhelmi memaklumkan kecederaan tersebut memerlukan Endrick berehat sekitar dua hingga tiga bulan.
“Saya boleh katakan 99% (Endrick) terkeluar dari kejohanan kerana mengalami kecederaan ligamen lutut MCL. Kalau MCL, saya fikir pemain memerlukan tempoh (pemulihan) dua hingga tiga bulan.
“Jadi, hampir 99% diketepikan untuk kejohanan ini. Tetapi atas semangat kesukanan, setia kepada pasukan dan kekeluargaan, beliau tetap akan sertai kunjungan skuad negara ke Bangkok termasuk baki perlawanan skuad negara selepas ini,” katanya kepada Nadi Arena.
Berita ini sekaligus menjawab teka-teki tentang status kecederaan Endrick. Kecederaan itu dialami dalam aksi kedua Kumpulan B menentang Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
Meskipun tidak dapat beraksi, Endrick tetap mengikuti rombongan kem negara ke Bangkok, Thailand untuk aksi ketiga kumpulan menentang Thailand.
Zulhelmi melihat berita kecederaan itu sebagai satu tamparan hebat kepada kem negara. Ini kerana Endrick rajin membantu bahagian serangan dengan membuat hantaran-hantaran yang mengelirukan benteng lawan.
“Ini satu tamparan kepada Endrick kerana beliau memberi sumbangan besar dalam dua perlawanan (Kumpulan B),” tambahnya.
“Walaupun ada yang tidak gemar kerana Endrick memegang bola terlalu lama dan suka menunjukkan kemahiran tersendiri, beliau sentiasa memberi ancaman kepada lawan dengan hantaran-hantaran yang agak menarik dan merbahaya kepada benteng lawan.”
Zulhelmi juga menjangkakan pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal sebagai pemain pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Endrick.