Endrick Tamatkan Kempen ASEAN Hyundai Cup Lebih Awal?
MakanBola
Malaysia NT

Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos berpotensi menamatkan kempen ASEAN Hyundai Cup lebih awal akibat kecederaan.

Potensi itu timbul selepas beliau mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuaal Lumpur, Cheras baru-baru ini.

Selepas menyumbat gol kedua bersama Harimau Malaya dalam kariernya, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kemudiannya diterjah pemain Laos ketika cuba mendapatkan bola.

Terjahan keras itu menyebabkan Endrick terpaksa menerima rawatan perubatan selama beberapa minit sebelum diusung keluar. Susulan itu, pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dibawa masuk sebagai pengganti beliau.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Endrick dijangka terpaksa melupakan baki kejohanan susulan kecederaan berkenaan.

“Piala Hyundai ASEAN 2026, Endrick Dos Santos tidak dapat diturunkan menentang Thailand dan dijangka terlepas semua baki perlawanan akibat kecederaan,” katanya di X.

Berita ini dijangka mendorong jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menilai pemain mana yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Endrick menjelang aksi menentang Thailand.

Selain Kuzain, Aliff Haiqal Lau, Ibrahim Manusi, Daryl Syam dan Ziad El Basheer Norisham antara pilihan Cheng Hoe untuk mengisi posisi tengah.

Berita ini juga dijangka menggusarkan jurulatih Star City FC, Mehmet Durakovic. Ini kerana sekiranya kecederaan yang dialami Endrick serius, ini akan memaksa pasukan itu menilai perancangan mereka termasuk mendapatkan pemain baharu.