Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mengakui teruja kerana dapat menjaringkan gol pertama bersama Harimau Malaya.
Selepas meraih penampilan pertama dalam aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Myanmar, pemain tengah berusia 27 tahun itu diberi peluang beraksi dalam perlawanan menentang Laos.
Kemasukan Kuzain sebagai pemain gantian menceriakan penyokong Malaysia menerusi gol sepakan percuma deras yang menerjah gawang Laos. Gol tersebut memastikan Malaysia meraih kemenangan 4-0.
Lebih menarik, ini bukan saja gol pertama Kuzain bersama Harimau Malaya. Malah, gol tersebut merupakan gol pertama beliau di hadapan penyokong sendiri.
Atas sebab itu, Kuzain menyifatkan penantian menjaringkan gol berkenaan cukup berbaloi. “Penantian berbaloi,” katanya ringkas di X.
Bekas pemain Sporting Kansas City itu turut mendedahkan pada awalnya, beliau berhasrat mahu menghantar bola kepada rakan-rakan sepasukan dalam kotak penalti.
Namun begitu, Kuzain memilih membuat percubaan terus pada akhirnya. Beliau turut melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t atas gol berkenaan.
“Pada awalnya, sejujurnya saya fikir nak menghantar (bola dalam kotak penalti). Tapi saya kata pada diri saya, ‘Kenapa tidak (mencuba)?’.
“Jika saya boleh merembat, itu akan berikan peluang kepada saya bahawa bola akan menerjah ke dalam (gawang). Dan Alhamdulillah, bola itu masuk,” katanya selepas perlawanan.
Gol Kuzain bukan saja menjadi sebutan di peringkat Asia. Malah, gol itu turut menjadi subjek perdebatan penyokong Laos berhubung penjaga gol mereka.